Macam Mana Aku Boleh Mula Blogging - Part 2 : Kembara PhD

by - Monday, June 29, 2020

Sambungan dari Entri Part 1 - 'MACAM MANA AKU BOLEH MULA BLOGGING'


Sambungan.......


Cintaku dalam dunia travel dan dunia akademik terus indah bilamana aku dijodohkan dengan seorang suami yang mempunyai minat yang sama. Cinta yang berputik atas dasar cinta kepada Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Agung terus bersemi indah tatkala kami turut mencintai dunia penulisan dan dunia kembara. Aku bahagia! Minatku dalam bidang penulisan akademik diteruskan tatkala aku sering mendapat sokongan moral yang tidak berbelah bahagi dari Sang Putera Hati.  Sejurus ikatan perkahwinan terpatri, kami bersama-sama mencari keredhaan Allah dalam urusan dunia mahupun ukhrawi. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberikanku kebahagiaan yang sangat ku dambakan sebelum ini. Aku lebih bersyukur dan gembira tatkala kami dianugerahkan berita kehamilan di tahun pertama pengajian PhD ku.

Aku hamil disaat baru memulakan pengajian. Aku bersyukur kerna ketika itu aku telah berjaya menyiapkan proposal penyelidikanku. Proses kehamilanku di trimester pertama dan kedua adalah sangat mencabar. Simptom awal kehamilanku begitu memudaratkan sehingga aku hanya mampu terbaring di atas katil sehingga usia kandunganku mencecah 6 bulan. Aku tidak mampu melakukan apa-apa kerja hatta kerja rumah sekalipun, apatah lagi untuk cuba berusaha untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan PhDku. Aku juga tidak mampu untuk makan seperti wanita normal yang lain. Hari-hariku hanya ditemani dengan biskut dan air masak dan kadang-kala aku menjamah bubur nasi semulut dua. Aku tidak dapat menjamah nasi seperti hari-hariku sebelum ini kerna tidak tahan dengan bau nasi yang sangat meloyakan itu. Semua jenis makanan membuatkan aku mual dan muntah, malah lebih teruk aku akan muntah sebanyak 5-6 kali sehari. Keadaan tersebut berterusan sehingga ke trimester kedua. Rasa bersalah dalam hati ini membuak-buak saban hari memandangkan telah sekian lama kutinggalkan kertas-kertas penyelidikanku.

Masa ni kat Amsterdam - masa tu tengah mengandungkan Kakak FL - 6 bulan usia kandungan

Menjengah ke trimester ketiga usia kandungan, aku mendapat kekuatan untuk kembali kepada keadaan normal. Lantas, ku rencanakan hari-hariku dengan sebaik-baiknya. Aku telah mula ke kampus untuk meneruskan kembara penyelidikanku yang telah sekian lama kutinggalkan. Akhirnya, pada tarikh EDD yang telah dijangkakan sebelum ini, aku melahirkan zuriat pertama kami pada jam 9.05 minit pagi pada 11 Jun 2014. Air mataku mengiringi tangisan bayi, aku kini telah menjadi seorang ibu di tahun pertama pengajian PhD ku.  Aku gembira! Aku bahagia kerna berpeluang menjadi seorang wanita normal seperti yangdiimpikan oleh seluruh wanita di alam ini. Nur Farah Leena nama indah yang terukir buat permata hati kami. 

Bertiga, aku layari kehidupan ini dengan penuh warna-warni di tahun pertama pengajianku.  Kusangkakan panas hingga ke petang, namun hujan membasahi bumi tatkala sang suria sedang menyinari alam.  Kehidupan baru sebagai seorang ibu telah mengubah kehidupanku 360 darjah. Aku diajar oleh anak kecil ini untuk menjadi seorang yang penyayang, penyabar, pemaaf dan yang paling penting adalah seorang yang bijak membahagikan masa dengan sebaik mungkin antara pelajaran dan tugas sebagai seorang ibu. Ya! Dia yang masih kecil mampu mengajarku tentang erti sebuah kehidupan. Aku bahagia disampingnya. Aku gembira meniti hari-hariku bersama si kecil ini dan suamiku yang tercinta.
Kakak FL selalu ikut Mommy pergi fakulti dulu-dulu

Namun, dalam kebahagiaan dan kemanisan mengecapi nikmat berkeluarga, ada hari-hari aku jatuh tersungkur di bumi. Aku cuba untuk menjadi seorang wanita yang kuat, seorang wanita yang hebat, seorang wanita yang sangat cekal dan tabah dalam mengharungi pahit manis kehidupan, namun ku harus akur yang bahawasanya aku hanyalah hamba Allah yang sangat kerdil, yang sangat lemah, yang sentiasa memerlukan pertolongan dan kekuatan dariNya.

Dalam meniti tahun kedua pengajian, usai saja tempoh berpantang,  aku dikejutkan dengan berita pemergian supervisorku akibat kanser darah. Aku menjadi hilang arah, aku buntu! Buntu untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam kembara PhD ku ini. Aku perlu memilih penyelia baru dan mewujudkan kumpulan komiti penyelia secepat mungkin memandangkan aku telah berada di tahun kedua pengajian. Aku buntu untuk memilih penyelia memandangkan fakulti pengajianku terhad dengan kepakaran dalam bidang pengajianku ini yang berkaitan tentang perancangan pembangunan. Hanya Arwah yang merupakan satu-satunya pakar dalam bidang penyelidikan aku. Lantas, pelbagai persoalan bermain di fikiran ini. ‘Adakah penyelia baru tersebut faham dengan kajian aku?’, ‘Adakah dia tahu senario perancangan pembangunan di Malaysia ini dengan sebaiknya?’, ‘Adakah dia boleh menyelia aku dengan sebaiknya?’. Satu demi satu persoalan yang terlintas di benak pemikiranku ini. Hampir setiap hari jiwaku kacau dengan permainan emosi ini.

Masa buat tesis dulu - wajib sapu Essential Oil - Vertiver (untuk boost fokus)

Lantas, dalam masa yang singkat, aku membuat keputusan untuk memilih penyelia baru dan mewujudkan komiti penyelia memandangkan aku perlu menduduki peperiksaan Compulsory Exam (C.E) secepat mungkin yang merupakan peperiksaan wajib untuk semua pelajar PhD di universiti pengajianku. Aku lega setelah kumpulan komiti penyelia berjaya dibentuk. Ia akan mempercepatkan prosedur untuk aku menduduki peperiksaan C.E tersebut. Aku berjaya mendapatkan seorang penyelia lelaki Warga Australia yang pakar dalam bidang senibina sebagai penyelia utamaku. Memandangkan umurnya yang agak senior, ku sangkakan dia mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang selok-belok penyelidikan akademik termasuk tentang bidang penyelidikan aku. Namun, sangkaanku meleset.

Penyelia baruku tidak memahami tentang kajian penyelidikanku, malah turut tidak memahami dengan mendalam tentang senario perancangan pembangunan di Malaysia yang menjadi tulang asas dalam penyelidikan PhDku ini memandangkan beliau bukanlah pakar dalam bidang ini dan pada masa yang sama tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penyelidikan akademik dan penyeliaan pelajar pasca siswazah.  

Lantas beliau menangguhkan waktuku untuk menduduki peperiksaan C.E. Aku bingung. Aku tertekan dengan keadaan ketika itu memandangkan masa yang masih berbaki semakin suntuk, jika tidak pengajianku akan terlucut (terminate) dengan sendirinya dan peluangku untuk menggengam segulung Ijazah Kedoktoran hancur sama sekali. Aku geram! Aku marah! Perasaanku bercampur baur. Emosiku berbolak-balik memandangkan aku masih lagi dalam fasa menyusukan si permata hatiku sepenuhnya dalam masa yang sama. Kepenatan memerah susu saban hari, dicampur dengan kepenatan dalam menghadapi masalah pengajianku ketika itu, ditambah pula dengan karenah penyelia yang sebegitu rupa, ia mengundang pelbagai emosi dan seribu satu rasa yang tidak mampu untukku luahkan. Aku mula merasa seperti ingin menamatkan kembara ilmu ini dan memberi sepenuh perhatianku untuk membesarkan si manjaku. “Anakku lebih berhak untuk mendapat perhatian dariku kini!” bentak hati kecilku.

Namun, Allah swt membantuku. Setelah mengharungi satu tempoh yang sukar dalam kembara ilmu ini, aku akhirnya berjaya meyakinkan pihak pengurusan pasca siswazah di fakulti pengajianku untuk menukar penyelia. Aku berjaya meyakinkan mereka tentang masalahku dengan penyelia utamaku dan memaksaku untuk menanguhkan peperiksaan C.E, aku akhirnya berjaya menukar penyelia. Menukar penyelia adalah tanggungjawab dan hak semua pelajar pasca siswazah sepatutnya. Namun tidak semua universiti mahupun fakulti mengizinkan untuk membenarkan proses ini berlaku. Ku sangkakan penukaran penyelia mahupun komiti penyelia adalah semudah ABC namun sangkaanku meleset. Prosedur tersebut terlalu payah di fakulti pengajianku. Namun berkat kesabaran dan doa yang dipanjatkan kepada Tuhan Yang Maha Esa, aku berjaya jua menukar komiti penyelia dan akhirnya aku mendapatkan penyelia baru.

 Kenangan masa buat PhD - wall of idea. Apa-apa jer idea yang terlintas dalam kepala, terus tulis dan catatkan kat mana-mana. 


Penyelia baru tersebut baru sahaja menamatkan pengajian PhDnya bebrapa tahun yang lalu di salah sebuah universiti di United Kingdom dan penyelidikan PhDnya adalah seakan-akan berkaitan dengan penyelidikanku. Sudah tentu fikirannya masih segar dengan bunga-bunga penyelidikan akademik. Aku menjadi kembali bersemangat untuk meneruskan kembara PhD ku ini dengan sokongan moral dari penyelia baruku itu. Aku memandangnya seperti rakan seperjuangan yang senang untukku berkongsi cerita kembara pengajianku ini. Lantas, peperiksaan C.E diatur secepat mungkin dan aku berjaya melepasinya. Alhamdulillah! Ku panjatkan syukurku ke hadrat Ilahi kerna telah membenarkanku untuk meneruskan perjuangan dalam menggengam segulung Ijazah Kedoktoran.

*Bersambung...........................

You May Also Like

4 comments

  1. Tulis, tulis dan tulis selagi ada cerita untuk dikongsikan.

    ReplyDelete
  2. Banyak dugaan ye dp.. Semoga terus maju

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'ah banyak sangat, tapi alhamdulillah akhirnya dpaat juga habiskan

      Delete